KUALA LUMPUR, 10 Februari 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, hari ini menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-148 yang berlangsung di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur.
Mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, dan menghimpunkan Menteri Besar serta Ketua Menteri dari seluruh negara bagi membincangkan isu-isu berkepentingan nasional dan negeri.
Tujuan utama mesyuarat tersebut adalah untuk mengemukakan serta membincangkan perkara-perkara berbangkit, pembentangan dan makluman, laporan maklum balas daripada negeri-negeri, serta hal-hal lain yang memerlukan perhatian dan penyelarasan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Sebelum menghadiri mesyuarat MBKM, Premier Sarawak terlebih dahulu mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri di pejabat beliau yang terletak di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia.